Saturday, August 7, 2010

> Ahlan ya Ramadhan


Rsenya xlah terlalu awal nak ucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak...memandangkan beberapa ar lg kita akan berpuasa...

Ramadhan akan tiba buat kesekian kalinya. Moga Allah memanjangkan umur kita agar kita mampu bertemu dengannya. Moga kita dimasukkan ke dalam golongan manusia yang keluar dari Ramadhan lalu diampunkan dosa-dosa mereka.

Saya ingin berkongsi dengan pembaca sekelian tulisan Dr. Raghib Sarjani yang baru saya baca dalam blog saudara kita ( http://satuperkongsian.wordpress.com ) sebentar tadi. Ia menyingkap tentang empat peristiwa yang berlaku pada bulan Sya’ban tahun kedua hijrah (sebulan sebelum Ramadhan pertama umat Islam). Keempat-empat peristiwa tersebut amat berkait rapat dengan tabiat dan matlamat pembinaan sebuah ummah yang kuat. Empat peristiwa tersebut adalah:

  • Pensyariatan puasa di bulan Ramadhan (Al-Baqarah: 183)
  • Pensyariatan perincian zakat (At-Taubah: 103)
  • Kewajipan mengangkat jihad senjata (Al-Baqarah: 190)
  • Penukaran qiblah dari Masjid Aqsa ke Masjidil Haram (Al-Baqarah: 144)

Keempat-empat peristiwa ini berlaku di bulan yang sama (Sya’ban tahun kedua hijrah) sebagai satu persiapan untuk umat Islam menghadapi satu peristiwa besar yang berlaku pada bulan seterusnya iaitu perang Badar Kubra (17 Ramadhan tahun kedua Hijrah).

Perang Badar adalah peperangan yang benar-benar menguji kekuatan umat Islam. Ia adalah peperangan yang besar dan menjadi lonjakan baru bagi umat Islam. Getirnya peperangan ini boleh difahami dari doa Rasulullah s.a.w. yang berdoa di medan peperangan: “Ya Allah, jika musnah kelompok Islam ini nescaya Kamu tidak akan lagi disembah di atas muka bumi.”

Untuk menghadapinya Allah telah melakukan tapisan dan saringan. Perang Badar hanya disertai oleh 313 orang sahabat r.a. yang benar-benar bersedia. Mereka adalah kelompok sahabat yang terbaik menurut ramai ulama’.

Untuk menghadapinya juga Allah telah mengkhususkan sesuatu hanya untuk umat Islam iaitu puasa Ramadhan dan penukaran kiblah ke Masjidil Haram. Dua peristiwa ini membezakan umat Islam dari umat yang lain. Umat Islam tidak cukup dengan puasa Asyura kerana orang-orang Yahudi juga berpuasa Asyura. Begitu juga tidak berpada dengan berkiblatkan al-Quds kerana agama lain juga ada yang berkiblatkan al-Quds. Dua peristiwa ini melahirkan tamayuz dan memberikan umat Islam identiti yang istimewa. Dengan identiti baru ini umat Islam berasa cukup bangga dan mulia seterusnya melahirkan keyakinan diri yang amat tinggi untuk berhadapan dengan apa juga ujian dan cabaran.

Puasa dan ibadah di bulan Ramadhan pula telah mentarbiah para sahabat r.a. dan meninggikan martabat mereka. Sesungguhnya matlamat Ramadhan adalah takwa itu sendiri. Allah berfirman yang maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

Bahkan zakat itu juga bertujuan untuk menyucikan jiwa demi mengangkat martabat mereka. Allah berfirman yang maksudnya:

“Ambillah harta dari orang kaya mereka sebagai satu sedekah untuk membersihkan dan menyucikan jiwa mereka dengannya.” (At-Taubah: 103)

Dengan kekuatan dalaman itulah umat ini bangun. Jasad yang gagah semata-mata tidak akan mampu ke mana-mana tanpa tolakan dalaman yang kuat.

Demikian kita melihat silsilah peristiwa yang berlaku sejak bulan Sya’ban hingga ke Ramadhan tahun kedua hijrah; kesemuanya tersusun melahirkan umat yang benar-benar gagah dan disegani oleh musuh-musuhnya. Moga kita dapat menghayatinya.

Ya Allah terimalah puasa dan qiam kami. Ampunkanlah segala dosa kami. Kurniakanlah kami lailatul qadar. Amin.

No comments: